
Pulau Babi
Oleh Izzat Dahelan
Pada peta daerah, namanya Metulu.
Orang-orang di pesisir memanggilnya Pulau Babi.
Bukan kerana banyanya babi berkeliaran disana. Kata Mak Suria, disebut Pulau Babi kerana terlalu banyak dosa yang hidup selepas matahari tenggelam.
Siang hari, Metulu tidak jauh beza daripada pekan kecil lain di tepi laut. Rumah kedai kayu berdiri rapat menghadap jeti. Bau ikan, garam, kopi dan minyak bot bercampur di udara. Nelayan menurunkan hasil tangkapan. Budak-budak berlari tanpa selipar. Lelaki tua duduk di kedai kopi, berbicara soalan ikan, politik dan aib manusia lain.
Malam menghadirkan wajah yang berlainan pekan itu.
Lampu merah menyala di lorong sempit. Rumah judi membuka gerbang pesta dosa. Bot-bot dari seberang datang membawa para lelaki yang mahu menghabiskan wang, melupakan isteri atau sekadar mencari sesuatu yang tidak mereka temui di rumah. Kebahagiaan dan kebebasan yang lain.
Adam membawa sebahagian daripada mereka.
Bot tambang miliknya kecil, tua dan cat birunya sudah dimamah garam laut. Di bahagian hadapan tertulis satu perkataan yang dicat oleh arwah datuknya bertahun dahulu.
SABAR.
Adam juga begitu. Terlalu sabar. Mungkin?
Dia jarang membantah. Jarang menyatakan apa yang terbuku di jiwanya dan apa yang terukir di benak fikirannya. Sebelum kata tumpah dari mulutnya, semua akan diperiksa terlebih dahulu dalam kepala otak.
Dipusing. Ditimbang. Dibimbang.
Sehingga akhirnya tidak mampu dilafazkan oleh bibir.
Apa yang tidak mampu dilafazkan itu, akan ditulis di dalam buku catatannya yang usang.
Buku kecil berkulit coklat. Diletaknya dibawah tempat duduk bot. Ketika menunggu penumpang, Adam menulis tentang laut, hujan, kemiskinan, tangan ibunya yang kasar dan cerita serta perbuatan orang-orang yang punya banyak rahsia ketimbang wang.
Tintanya tak hanya menulis soal perkara yang kecil berlaku disekelilingnya. Tetapi juga tentang seorang perempuan. Julita namanya.
Kali pertama matanya melihat perempuan itu, sembari rembayung menyapa.
Julita berjalan di sepanjang jeti dengan gaun merah tua. Rambutnya dibelai angin laut. Beberapa kepala berpaling, disusuli diam dan bungkam yang tadinya rancak berbicara.
Adam mengenali namanya sebelum mengenali wajahnya.
Semua orang mengenali Julita.
Perempuan milik Damkar. Seorang bangsawan.
Perempuan mahal.
Perempuan yang disapa dan disambut baik di hadapan muka, tetapi dihina sebaik sahaja ia berlalu.
Adam memandangnya beberapa detik.
Kemudian menunduk.
Tidak lama selepas itu, dia membuka buku catatan kecilnya.
Tangannya berhenti lama diatas kertas sebelum menyusun sebaris bait kata.
"Ada manusia yang hadir seperti laut ketika pasang. Kita tidak pernah mengundangnya tuk’ hadir, tetapi tahu-tahu airnya sudah sampai ke halaman rumah."
Adam menutup buku itu semula.
Di kejauhan, bunyi tapak kasut Julita semakin hilang diatas papan jeti.
Tok! Tok! Tok!
Lalu senyap.
Bertahun-tahun kemudian, Adam masih mengingati bunyi tapak kasut itu. Warna gaun Julita masih berada diingatannya. Bau garam diwaktu petang. Matahari yang pecah diatas air. Semua masih segar dalam ingatannya.
Kecuali satu perkara yang tidak sempat dilakukannya. Melafazkan apa yang terbuku dihati.
Apabila Adam akhirnya tahu ternyata Julita turut mencintainya, perempuan itu sudah menjadi nama yang sering hanya terucap dalam doa.
Hanya sekeping surat yang menjadi penyembuh rindu dan duka.
Dan terlalu banyak bait kata yang sudah kehilangan tempat untuk dituju.